Gambus / Oud

 

Kosmo! HIBURAN

KPPK perjuang irama Malaysia (31/05/2010)


NORLIZA ROFLI (tengah) ketika sidang akhbar di Red Box Plus, Pavilion Kuala Lumpur bersama Pengarah Penerbitan TV RTM, Rokiah Normah (kiri) dan Pengawal Radio Klasik, Chuari Selamat.


SEJAK era 80-an lagi, irama Malaysia menjadi satu dominasi baru dalam industri muzik tanah air dengan kelahiran album Datuk Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, M. Nasir, To'Ki, Jamal Abdillah dan ramai lagi artis.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) sedang berusaha mencungkil lebih banyak bakat baru melalui pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia.

Untuk itu, para komposer yang bertanding dikehendaki menghasilkan lagu berdurasi empat minit dengan memasukkan elemen-elemen seperti keroncong, dondang sayang, dikir barat, inang, joget dan zapin dalam karya mereka.

Pertandingan yang berlangsung selama 28 hari itu akan ditutup pada 31 Mei ini. Borang penyertaan dan syarat pertandingan boleh dimuat turun melalui laman rasmi www.jkkn.gov.my atau www.kpkk.gov.my.

Menurut Ketua Pengarah KPKK, Datuk Norliza Rofli, JKKN yang mendapat kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) merasa terpanggil untuk memperbanyakkan koleksi serta khazanah seni tanah air dalam bentuk penghasilan lagu-lagu berirama Malaysia.

Katanya, dengan hadirnya muka-muka baru melalui pertandingan itu akan menyemarakkan lagi khazanah muzik negara ini di samping meningkatkan martabat muzik irama Malaysia.

"JKKN dengan kerjasama RTM memberi peluang kepada semua komposer sama ada amatur mahupun profesional untuk sama-sama memartabatkan irama Malaysia dengan menyertai pertandingan itu.

"Setiap penyertaan akan melalui proses penghakiman di peringkat saringan yang mana 30 penyertaan yang terbaik akan disiarkan menerusi radio Klasik Nasional untuk diundi oleh pendengar yang mewakili 10 peratus markah.


FAUZIAH SUHAILI atau Fauziah Gambus membuat persembahan yang mengasyikkan bersama gambusnya.


"Sebanyak 90 peratus markah lagi akan dinilai oleh panel yang dilantik oleh pihak urus setia," katanya pada sidang akhbar di Red Box Plus di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini. Sidang akhbar itu turut menampilkan artis irama Malaysia, Fauziah Gambus.

Tambahnya, setiap borang penyertaan harus disertakan dengan lirik dan rakaman lagu dalam bentuk cakera padat (CD).

"Apa yang penting CD lagu itu mesti jelas dan boleh difahami. Komposer juga hendaklah memberi kebenaran kepada JKKN melalui KPKK untuk mengubahsuai lirik mengikut kesesuaian.

"Penyertaan hendaklah diserahkan selewat-lewatnya pada 31 Mei 2010 kepada Urusetia Cipta Lagu Irama Malaysia 2010 di alamat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tingkat 28, Bangunan MAS, Jalan Sultan Ismail, 50250, Kuala Lumpur," tambahnya.

Dalam pertandingan ini juga, Music Authors Copyright Protection (MACP) akan mewakili pencipta lagu dan penulis lirik dalam pengumpulan royalti bagi persembahan langsung dan penyiaran awam.

GAMBUS / OUD

Gambus merupakan sejenis alat muzik bertali tradisional di Malaysia. Ia berbentuk seperti buah pear yang dibelah dua. Gambus tergolong dalam alat muzik jenis ‘petik’ yang dikatakan berasal dari Timur Tengah.

Gambus terdapat dalam pelbagai jenis iaitu dari gambus tiga tali sehingga gambus yang mempunyai 12 tali.


 

Gambus adalah lambang muzik warisan melayu...

Bunyi petikan tali gambus pastinya mengasyikkan, apatah lagi jika mendendangkan lagu-lagu ghazal Melayu dahulu kala.

Namun di sebalik keasyikan itu, ada kesamaran yang mencetuskan persoalan sama ada irama warisan ini akan turut sepi selepas pemergian Raja Gambus Malaysia, Allahyarham Fadzil Ahmad.

Kesempatan mendekati pengusaha kraf gambus, Mohd Diah Ariffin, 67, dari Kampung Rahmat, Batu Pahat, menimbulkan nostalgia penulis pada saat kegemilangan pemuzik gambus hebat itu.

Dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) melalui anak cawangannya di Melaka dan Johor, sebuah program Lawatan Media Turun Padang ke negeri Melaka dan Johor diadakan baru-baru ini yang telah menemukan penulis dengan pengusaha kraf alat-alat muzik tradisional yang senantiasa ada pewarisnya.

Mohd Diah atau lebih dikenali sebagai Pak Mat merupakan anak jati negeri Johor. Melangkah masuk ke rumahnya, penulis bersama rakan media yang lain dapat mengagak Pak Mat sememangnya menyanjungi khazanah muzik Melayu.

ASAL USUL

Gambus yang dikenali sebagai ganun di Timur Tengah adalah alat muzik bertali yang dimainkan dengan cara dipetik. Ia berasal dari Turki dan Mesir. Lazimnya, ia menjadi pengiring tarian zapin, atau sebagai muzik latar belakang pada majlis keramaian seperti perkahwinan dan menyambut tetamu kehormat.

Hamdolok, tarian zapin Arab, mempunyai hubungan yang akrab dengan gambus. Gambus juga dianggap sebagai suatu kemestian dalam mengiringi nyanyian ghazal.

Menurut Pak Mat, asal usul kehadiran gambus dikatakan bermula daripada kedatangan pedagang dari Timur Tengah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Budaya masyarakat merekalah yang memperkenalkan gambus kepada masyarakat Melayu waktu itu.

Walaupun darah seni itu sememangnya lahir daripada bapa dan bapa saudara Pak Mat sendiri, namun beliau tidak pernah menyangka sama sekali untuk menjadi pengusaha kraf alat muzik tradisional tersebut.

Dahulunya seorang penoreh getah, Pak Mat, mula bergiat secara serius dalam pembuatan gambus pada tahun 1999. Sejak itu, beliau mula menjadi pembuat dan pembekal alat muzik tradisional, bukan sahaja gambus, malah gedombak, dol, maruas, kompang dan angklung.

Beliau turut menghasilkan paip untuk penggemar tembakau. 

PEWARIS WARISAN MUZIK

Siapa sangka di zaman teknologi dan maklumat ini, beliau selaku orang lama di dalam seni pembuatan gambus ini sebenarnya menjadi idola dan contoh kepada anak bongsunya, Mohd Azwan Md Diah, 21, penuntut jurusan Diploma Seni Ukiran Institut Kraf Negara (IKN) yang kini sedang menjalani latihan industri.

"Pada mulanya, saya hanya belajar kemahiran mengukir di IKN. Lama-kelamaan melihatkan ayah yang bersungguh-sungguh mengusahakan pembuatan gambus, saya mulai belajar dan akhirnya mahir di dalam menghasilkannya,"kata Mohd Azwan.

Tidak ketinggalan, anak perempuan Pak Mat, Rohana Mohd Diah, 25, yang baru sahaja tamat pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), turut turun padang membantu ayahnya selepas mempelajarinya sendiri daripada adiknya, Mohd Azwan.

Menurut Pak Mat lagi, beliau merasa tanggungjawab untuk mengekalkan seni warisan Melayu ini terpikul di atas bahunya setelah melihat sendiri bagaimana seorang pengusaha kraf gambus berusia 86 tahun di Senggarang, Batu Pahat, yang uzur sudah tidak mampu untuk mengusahakannya lagi.

"Pengusaha gambus yang saya kenal di Senggarang kini sudah semakin uzur. Saya merasa terpanggil untuk menyambung apa yang telah dilakukannya, iaitu membuat gambus,"jelasnya lagi.

Berbekalkan dorongan dan pengetahuan anak yang mempelajarinya secara formal di IKN, Pak Mat kini giat memenuhi permintaan yang datangnya dari seluruh pelosok negara.

Antaranya ialah Yayasan Warisan Johor yang kerap membeli alat-alat muzik tradisional untuk dipasarkan. Terbaru, Pak Mat turut memperoleh permintaan dari negara jiran, Brunei yang mahukan alat muzik tradisional tersebut sebagai koleksi cenderamata.

PROSES PEMBUATAN GAMBUS

Dalam memenuhi permintaan, Pak Mat mengutamakan mutu gambus, lantas hasil kerjanya tampak begitu teliti dan mempunyai nilai seni yang tinggi.

Terdapat tiga komponen utama pada rekaan bentuk gambus iaitu kepala, tampuk belakang dan badan.

Bermula dengan proses memotong bahan mentah seperti kayu jati merah, nibung dan maruas mengikut ukuran yang ditentukan, mengetam sehinggalah kepada membuat "manik" (bahagian tepi pada badan gambus), kesemuanya dianggap penting bagi Pak Mat di dalam mengekalkan keaslian seni pembuatan gambus itu.

Beliau menambah, "Pada saya, apa jua permintaan atau tempahan, terlebih dahulu akan saya pastikan stok ada. Jika tidak, saya tidak akan terima tempahan hanya kerana ingin mengaut untung semata-mata. Seni pembuatan gambus harus dijaga dan tidak boleh diambil remeh."

Kerja-kerja membuat gambus kesemuanya diusahakan di bengkel yang terletak bersebelahan dengan rumah Pak Mat.

Seawal pukul 8 pagi lagi, Pak Mat bersama dua pekerja termasuk Mohd Azwan akan memulakan kerja-kerja di bengkel. Disiplin kerja amat diutamakan khususnya apabila banyak tempahan yang perlu disiapkan. Hanya selepas pukul 5 petang, barulah segala kerja-kerja bertukang selesai.

Beliau menekankan, aspek disiplin merupakan satu kemestian untuk setiap pekerja termasuk dirinya sendiri. Baginya, minat dan kesungguhan sahaja tidak mencukupi. Ia mesti disertai dengan disiplin kerja supaya kerja-kerja pertukangan tangan seperti membuat gambus ini dapat diikuti oleh generasi hari ini.

Melihatkan wajah tuanya, ternyata Pak Mat tidak menjadikan faktor usia sebagai alasan untuk menghabiskan sisa-sisa waktu di rumah sahaja.

Dengan adanya pewaris yang terdiri daripada kalangan anak-anaknya sendiri ditambah pula dengan bantuan yang diberikan pihak Kraftangan Malaysia, kini Pak Mat sudah mampu menarik nafas lega.

PELBAGAI PROGRAM KRAFTANGAN MALAYSIA

"Segala peralatan dan mesin membuat gambus ini diberikan oleh pihak Kraftangan. Sedikit sebanyak dengan adanya mesin ini, pengeluaran gambus dapat dibuat dalam jumlah yang banyak untuk memenuhi tempahan," jelas Pak Mat.

Tambahan pula, setelah bergelar pengusaha kraf di bawah program Warisan, hasil jualan gambus yang pernah dicapai setakat ini pernah mencecah sehingga RM10,000 sebulan.

Di bawah program yang sama, Pak Mat tidak bersendirian malah turut bergandingan dengan pengusaha-pengusaha kraf yang lain di bawah program-program seperti Warisan Kuda Kepang, Warisan Wayang Kulit dan Warisan Angklung.

Menurut Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, Rosli Talikun, "Percaya atau tidak, empat projek di bawah program Warisan ini mencatatkan jumlah pendapatan yang tertinggi tahun lalu iaitu RM95,745 berbanding hanya RM26,395 pada tahun sebelumnya.

Jumlah ini sudah cukup membuktikan seni warisan hari ini masih ada peminatnya tersendiri, dan usaha memeliharanya akan terus dijaga oleh pihak Kraftangan.

Dengan kehalusan ukirannya, tidak hairan jika kepakarannya dalam pembuatan gambus ini bukan sahaja terus dikenali ramai malah gambus akan terus menjadi warisan muzik sepanjang zaman.

 

Make a Free Website with Yola.